Metro
28/12/2009
SAYA terlebih dulu mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) atas keprihatinannya membela kakitangan awam dan pada masa sama tetap setia berada di belakang kerajaan. Saya menulis surat ini semata-mata hendak semua pihak membuka mata mengenai satu kelompok kakitangan awam yang kerap disisihkan dan dilupakan iaitu guru Kemas. Pada setiap pilihan raya sama ada umum atau kecil, kelibat guru Kemas dalam melakukan kempen serta jentera penggerak Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak dapat dinafikan lagi, malah mereka menjadi antara penyumbang terbesar dalam meraih undi dan memujuk sokongan pengundi. Mereka bersengkang mata dan memerah keringat dalam memenangkan calon Umno atau BN dengan ganjaran tidak seberapa. Tugas mereka selain daripada pengajaran dan pembelajaran di tadika, adalah sebagai mata dan telinga kerajaan yang paling hadapan dan penghubung dengan rakyat. Besar dan berat sungguh tanggungjawab mereka. Sukar dibayangkan untuk bergerak ketika pilihan raya tanpa pengorbanan golongan ini.
Tetapi, di sebalik kerelaan dan kesanggupan guru Kemas berkenaan, rupa-rupanya sudah puluhan tahun mereka masih lagi sebagai kakitangan kontrak yang diperbaharui setiap beberapa tahun. Hak mereka untuk menjadi penjawat awam sentiasa dihampakan dengan pelbagai alasan.
Selepas puluhan tahun mencurahkan bakti mendidik kanak-kanak prasekolah dan gigih berjuang untuk parti dan negara, hak mereka untuk mendapat pencen ketika mencapai usia persaraan masih dinafikan. Pelbagai kemudahan untuk kakitangan tetap juga tidak dinikmati. Malah, gaji mereka juga tidak setaraf dengan rakan sejawatan lain di sekolah dengan hanya mendapat gred S11, gred untuk lulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau dulu Sijil Rendah Pelajaran (SRP).Apabila dihantar ke institusi perguruan untuk menyambung pelajaran peringkat diploma, mereka masih dikekalkan sebagai kakitangan kontrak dengan gred baru S27. Rungutan yang dicurahkan mereka selama ini bagaikan menyiram air di daun keladi. Lebih memeritkan, kakitangan di pejabat termasuk pegawai semuanya mendapat jawatan tetap dan berpencen, padahal guru Kemas bertungkus-lumus bekerja di barisan hadapan pada bila-bila masa tidak disambung perkhidmatannya. Memang menghairankan apabila nasib dan hak mereka untuk menjadi kakitangan tetap seolah-olah dipandang sepi. Lebih mengecewakan tiada langsung kedengaran pembelaan daripada pihak yang begitu mendambakan mereka pada pilihan raya. Jangan sehingga hal ini dipolitikkan pembangkang barulah pihak tertentu terhegeh-hegeh menjanjikan itu dan ini kepada guru Kemas seperti yang pernah berlaku pada tahun lalu. Habis isu, semua senyap kembali dan dilupakan semula. Apakah nilai kesetiaan dan keikhlasan mereka dalam melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan? Seolah-olah bak kata pepatah ‘habis madu sepah dibuang’. Jaminan untuk tidak diberhentikan hanyalah ‘menanam tebu di bibir’ kerana dengan status kakitangan kontrak, apa saja kemungkinan boleh berlaku. Akhir kata, saya meminta Cuepacs menggesa kementerian bertanggungjawab dan Jabatan Perkhidmatan Awam dapat berusaha segera menyerapkan mereka ke skim jawatan tetap tanpa banyak berdalih dan alasan lagi. Saya berharap pihak terbabit memberi penghargaan kepada mereka supaya lebih gigih dan tekun bekerja untuk agama, bangsa dan negara, bersesuaian dengan slogan ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’. PRO KEMAS,Guar Chempedak, Kedah.
CUEPACS RAYU SELESAI MASALAH STATUS KONTRAK
Berita Harian28/12/2009
KUALA LUMPUR: Seramai 30,000 kakitangan awam berstatus kontrak di bawah kerajaan negeri mungkin hilang pekerjaan menjelang tahun depan apabila kontrak perkhidmatan mereka tidak disambung ekoran tiada peruntukan. Sehubungan itu, Presiden Cuepacs, Omar Osman meminta kerajaan campur tangan dan mencari jalan menyelesaikan masalah berkenaan. “Boleh dikatakan setiap hari Cuepacs menerima panggilan daripada pekerja kontrak ini memohon kami merayu kepada Datuk Seri Najib Razak supaya membantu mereka. Ada yang sudah berkhidmat hampir 20 tahun dan berpendapatan purata sekitar RM1,500 sebulan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Omar berkata, secara keseluruhannya ada lebih 60,000 kakitangan awam secara kontrak di negara ini dan sebahagian besar di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Beliau berkata, ketiadaan peruntukan disebabkan keadaan ekonomi tidak menentu adalah punca perkhidmatan mereka tidak dapat disambung.