Di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya pada 21-23 Disember 2010
PRESIDEN
TIMBALAN PRESIDEN
2. Zainal bin Ismail
SETIAUSAHA AGONG
TIMBALAN SETIAUSAHA AGONG
2. Mahamad bin Baharom
3. Abdul Rahman bin Hj. Mohd. Nordin
1. Ja’apar bin Mansor
KUALA LUMPUR: Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Omar Osman mempertahankan jawatannya setelah menewaskan presiden Kesatuan Kakitangan Am Mardi Ramli Omar pada pemilihan kongres itu yang berlangsung di sini, Rabu.
Omar mendapat 816 undi berbanding lawannya 154 undi.
Keputusan pemilihan bagi penggal 2010-2013 itu diumumkan pada hari terakhir konvensyen tritahunan ke-25 kongres itu di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya pada Khamis.
Dua jawatan timbalan presiden disandang oleh Azih Muda dan Zainal Ismail manakala jawatan setiausaha agung dimenangi oleh Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Loke Yim Pheng yang menewaskan penyandang Ahmad Shah Mohd Zin dan seorang lagi calon Ku Azmi Ku Ibrahim.
Jaapar Mansor pula dipilih sebagai setiausaha kewangan.
Bercakap kepada pemberita, Omar berkata, Cuepacs akan meneruskan perjuangan bagi menaikkan taraf skim perkhidmatan mengikut perubahan kelayakan selain berusaha meningkatkan jumlah kesatuan gabungan.
Katanya, Cuepacs juga mahu melaksanakan keanggotaan wajib dan automatik bagi semua penjawat awam yang layak menganggotai kesatuan.
Beliau berkata, surat rasmi akan dihantar kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) supaya apa juga penambahbaikan, latihan, bonus dan kenaikan gred diberi keutamaan kepada mereka yang menganggotai kesatuan di bawah Cuepacs.
"Kita tak mahu penjawat awam yang tidak menjadi anggota kesatuan menumpangperjuangan Cuepacs kerana faedah yang diperolehi esok akan dinikmati bersama.Kita mahu bagi mereka yang layak, mereka wajib masuk kesatuan," katanya.
"Mereka tidak boleh memberi alasan tidak memperoleh apa-apa faedah dengan menyertai kesatuan. Ada juga yang tidak menghormati perjuangan Cuepacs," katanya.
Menurutnya, ketika ini hanya 560,000 anggota menyertai gabungan Cuepacsberbanding 900,000 penjawat awam yang layak. - BERNAMA
KUALA LUMPUR, 23 Dis — Kemenangan Omar Osman sebagai presiden dan Lok Yim Peng selaku setiusaha agung tidak terjejas meskipun panel pemilihan Cuepacs membuat kesilapan ‘teknikal’ ketika membuat pengumuman keputusan pagi tadi.
Wakil jawatankuasa pemilihan tersilap mengumumkan bahawa jawatan setiausaha agung telah dimenangi oleh Ahmad Shah Mohd Zin sedangkan Lok menewaskan beliau dengan memperoleh 468.
Perwakilan persidangan Cuepacs kelihatan tersentak apabila diumumkan bahawa yang menang jawatan itu ialah Ahmad Shah, yang merupakan penyandang.
Keputusan tidak rasmi sudah pun diketahui lewat malam tadi.
Bagaimanapun kesilapan itu dibetulkan dengan Lok diisytiharkan sebagai pemenang dengan mengatasi dua pencabar. Ahmad Shah mendapat 263 undi.
Jawatan itu turut ditanding oleh muka baru Ku Azmi Ku Ibrahim yang mendapat 278 undi.
Keputusan rasmi diumumkan pagi ini — hari terakhir persidangan tritahunan yang diadakan di kampus Universiti Malaya di sini.
The Malaysian Insider membawa laporan berdasarkan keputusan tidak rasmi awal pagi tadi.
Omar mengekalkan jawatannya dengan memperoleh 815 undi manakala pencabarnya Ramli Omar mendapat 154 undi.
Beberapa perwakilan memberitahu The Malaysian Insider, kejayaan selesa Omar berhubung kait dengan hubungan secara langsung beliau dengan kesatuan-kesatuan gabungan Cuepacs selama ini.
“Saya melihat beliau mendapat banyak undi simpati memandangkan beliau kelihatan seorang pemimpin yang senang didekati, malah beliau banyak membantu kesatuan dengan memberikan sokongan kewangan,” kata seorang pegawai kanan kesatuan.
Cuepacs kini mempunyai sokongan kewangan lebih baik berbanding dekad-dekad sebelum ini dengan memperoleh geran tahunan kerajaan. Malah, walaupun isu lanjutan kontrak perkhidmatan ditimbulkan, Omar dilihat menguasai sokongan besar perwakilan sejak awal lagi. Ramli berganding dengan Ahmad Shah yang mempertahankan jawatan setiausaha agung buat penggal ketiga.
Kemenangan Lok pula banyak dikaitkan dengan pengaruh beliau dalam Majlis Bersama Kebangsaan Kumpulan Sokongan Am yang menyediakan sekitar 400 undi.
Pemimpin-pemimpin kesatuan gabungan Cuepacs juga mengganggotai tiga Majlis Bersama Kebangsaan pekhidmatan awam.
Dua lagi majlis adalah bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Sains dan Teknologi.
Lok dilihat menerima sokongan daripada anggota kedua-dua Majlis Bersama Kebangsaan Kumpulan Sokongan Am dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional.
Selain itu, isu projek berita SMS Cuepacs juga dilihat menjejaskan sokongan Ahmad Shah meskipun Omar menjelaskan perwakilan pada hari persidangan bahawa isu itu telah selesai dan tiada penyelewengan ataupun salah guna kuasa.
Lok, yang turut dicalonkan bertanding jawatan timbalan presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), yang pemilihannya akan diadakan minggu depan.
Ini kali kedua seorang wanita dipilih sebagai setiausaha agung Cuepacs. Ahmad Shah ketika dihubungi berkata beliau menerima kekalahan tetapi “apa yang lebih penting ialah pembangunan organisasi Cuepacs.”
“Pemimpin silih berganti, datang dan pergi. Perjuangan Cuepacs mesti diteruskan, kepentingan kakitangan perlu diperjuangkan,” katanya lagi.
Bagaimanapun beliau tidak menolak kekalahannya juga berpunca daripada taktik kotor yang digunakan pihak pesaing.
“Isu-isu yang sudah selesai dibangkitkan, memang ada taktik kotor, isu lama ditimbulkan semula dan ada unsur provokasi,” katanya.
Jawatan timbalan presiden pula dimenangi oleh Azih Muda dan Zainal Ismail yang masing-masing mendapat 754 dan 431 undi. Azih, yang juga timbalan presiden semasa, atas kapasiti sebagai timbalan presiden I akan menggantikan Omar apabila beliau bersara tahun depan, dipercayai awal September.
“Dengan kemenangan ini, kami akan memberi tumpuan ke atas soal-soal kebajikan kakitangan awam seperti pemilikan rumah, pinjaman perumahan, pembangunan kerjaya dengan menyediakan kemudahan melanjutkan pelajaran, penambahbaikan skim perkhidmatan,” kata beliau.
Tiga kerusi jawatan timbalan setiausaha agung dimenangi oleh Adnan Mat, Abd Rahman Norrdin dan Mohamad Baharom. Adnan memperoleh 679 undi, Abd Rahman (527) dan Mohamad (570).
Adnan merupakan penyandang jawatan itu. Jawatan setiausaha kewangan yang menyaksikan persaingan satu lawan satu dimenangi Ja’apar Mansor, yang menewaskan Samuel Devadasan.
Azhar Abdul Shukri menewaskan Hamzah Masri untuk menerajui jawatan timbalan setiausaha kewanganBernama
21/12/2010
KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Geran tahunan kerajaan kepada Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan dinaikkan kepada RM2 juta setahun bermula tahun depan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri yang menyampaikan berita baik itu pada konvensyen Cuepacs di sini hari ini, turut mengumumkan pemberian RM1 juta untuk kongres berkenaan membaik pulih ibu pejabatnya yang dikatakan sudah 'terlalu uzur'.
Pengumuman Najib itu adalah sebagai membalas ucapan Presiden Cuepacs Omar Osman yang 'menyelit' permintaan kepada kerajaan supaya menimbangkan peruntukan bagi membaiki pejabat kongres berkenaan.
Hanya tahun lepas, kerajaan menaikkan geran tahunan kepada Cuepacs daripada RM350,000 kepada RM1 juta.
Pada majlis sama, Najib turut menyaksikan acara menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) pembentukan Konsortium Pengendali Takaful Cuepacs antara Dar Al Istithmar Sdn Bhd dan lima syarikat pengendali takaful, terdiri Takaful Malaysia, Takaful Ikhlas, Etiqa Takaful, HLTM Takaful dan MAA Takaful.
Pembentukan konsortium itu bertujuan membantu penjawat awam mendapat tawaran skim perlindungan mampu milik tetapi dalam masa sama mencukupi dalam menyediakan tabungan semasa berlaku bencana atau malapetaka.
Takaful Kasih 1 Cuepacs adalah antara skim pertama yang dilancarkan dan telah tersedia untuk disertai oleh penjawat awam.
Mengulas perkara itu, Omar berkata, pembentukan Konsortium Pengendali Takaful di bawah Cuepacs adalah satu usaha membantu penjawat awam untuk berjimat dan merancang kewangan mereka.
"Usaha ini juga membuktikan bahawa Cuepacs bukanlah hanya bertindak sebagai badan pendesak semata-mata dan bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan untuk bergerak, tetapi mempunyai program konkrit yang terancang dan terurus serta berkesan dalam membantu penjawat awam melalui program sebegini," katanya.
-- BERNAMA
KUALA LUMPUR, 2 Dis — Pemilihan Cuepacs mula rancak dengan wujud desakan agar Presidennya Omar Osman, yang baru-baru ini disambung semula kontrak perkhidmatan, agar berundur untuk memberi laluan kepada pihak lain memimpin kongres itu.
Setiausaha Agungnya Ahmad Shah Mohd Zin yang berganding dengan Omar pada pemilihan tiga tahun lalu berkata, sudah sampai masa bagi Cuepacs memerlukan seorang presiden yang baru.
Pada pemilihan 22 Disember ini, Ahmad Shah akan berganding dengan Ramli Omar iaitu Presiden Kesatuan Kakitangan Mardi Malaysia kali ini.
“Presiden patut ditukar... beliau wajar memberi laluan kepada orang lain sebab Cuepacs memerlukan pemimpin baru, dengan idea-idea yang baru.
“Saya atau barisan kami tidak mengatakan beliau tidak memberi sumbangan, tetapi sudah sampai masanya Cuepacs memerlukan kepimpinan tertinggi yang baru,” kata beliau kepadaThe Malaysian Insider.
Cuepacs mengadakan mesyuarat majlis kongres semalam mengesahkan senarai pencalonan, yang sesinya ditutup Isnin lalu.
Mereka yang dicalonkan perlu mengesahkan penerimaan pencalonan sebelum 15 Disember ini.
“Ini pandangan ahli-ahli akar umbi. Cuepacs mahukan kepimpinan lebih dinamik,” kata beliau.
Ahmad Shah yang mengesahkan akan mempertahankan kedudukannya buat penggal ketiga berkata, kali ini akan bertanding dalam pasukan Ramli yang turut memutuskan mencabar Omar.
Ketika ditanya mengapa tidak berada dalam pasukan Omar, Ahmad berkata, “nampaknya beliau yang tidak mahukan saya.”
“Kesatuan beliau tidak mencalonkan saya pun, untuk jawatan setiausaha agung. Jadi saya menganggap saya tidak diperlukan oleh Omar. Maka, saya bergandingan dengan Ramli,” katanya lagi.
Ramli pula berkata, pihaknya telah menyusun barisan calon dengan memilih Ahmad Shah untuk jawatan setiausaha agung.
“Saya dah memutuskan tanding jawatan presiden sekali lagi. Ahmad Shah akan jadi gandingan untuk jawatan setiausaha agung,” kata Ramli, yang pernah dua kali bertanding jawatan presiden sebelum 2007.
“Saya yakin kali ini selepas dua kali mencuba sebelum ini,” katanya ketika ditanya peluang beliau.
“Cuepacs memerlukan perubahan dan pembaharuan, yang akan membantu kakitangan awam seiring dengan gagasan 1 Malaysia,” katanya.
Cuepacs mengadakan pemilihan terakhir tiga tahun lalu.
September lalu, Omar, 58, memberitahu The Malaysian Insider bahawa kontrak perkhidmatannya telah dilanjutkan tetapi tidak memaklumkan tempoh baru.
Usaha menghubungi beliau masih belum berhasil.
Sumber mendakwa perkhidmatannya hanya disambung enam bulan sejak September lalu.
Beliau juga belum mengesahkan sama ada mahu mempertahankan jawatannya kali ini.
Bagaimanapun rakan-rakannya yang dihubungi mengesahkan kepada The Malaysian Insiderbahawa Omar, Presiden Kesatuan Kakitangan Universiti Putra Malaysia, akan bertanding lagi.
“Omar sudah memberitahu kami yang beliau akan bertanding lagi,” kata seorang pemimpin kesatuan gabungan Cuepacs.
Cuepacs ada 130 kesatuan gabungan.
Omar memperoleh 48 pencalonan.
Ramli dicalonkan oleh satu kesatuan manakala Azih Muda, kini merupakan Timbalan Presiden Cuepacs, juga menerima satu pencalonan. Ahmad Shah juga menerima satu pencalonan bagi jawatan presiden.
Bagi jawatan setiausaha agung, selain Ahmad Shah, turut dicalonkan Lok Yim Pheng yang menerima 30 pencalonan, Ku Azmi Ku Ibrahim (dua) dan Adnan Mat (satu).
“Kita mahukan struktur dan peranan Cuepacs yang lebih efektif... saya yakin barisan kami ini mampu menyediakan ciri-ciri kepimpinan yang berkualiti ini,” kata Ramli lagi.
Ahmad Shah menambah, “saya melihat kepimpinan Cuepacs memerlukan gandingan yang ada sefahaman dan sehaluan untuk berjuang bagi kakitangan awam.”
Dalam pada itu, bagi jawatan timbalan presiden, pemimpin dicalonkan ialah Azih yang menerima 27 pencalonan, Husain Mohd Yasin yang kini merupakan seorang lagi penyandang dengan mendapat 24 pencalonan, Ramli (empat), Zainal Ismail (enam), Lok (dua), Hamzah Masri (dua), Shuhaimi Othman (satu), Mohd Mazlan Mohd Shaari (satu) dan Ibrahim Ahmad (satu).
Bagi tiga kerusi timbalan setiausaha agung pula seramai 14 orang dicalonkan iaitu Adnan yang menerima 32 pencalonan, Abd Rahman Nordin (20), Ku Azmi (13), Lok (10), Mohamad Baharom (empat), Mohd Mazlan (tiga), Kang Beng Leng (dua), Rus Bakaruraini Shahfie (dua), Ja’apar Mansor (satu), Dr Zainal Shaik Dali (satu), Sayuti Dollah (satu), Ali Omar (satu), Hamzah (satu) dan Ibrahim (satu).
Samuel Devadasan dicalonkan untuk mempertahankan jawatan setiausaha kewangan.
Turut dicalonkan bagi jawatan itu ialah Ja’apar yang menerima 10 pencalonan berbanding Samuel 35 pencalonan.
Bagi jawatan timbalan setiausaha kewangan, Ja’apar menerima pencalonan tertinggi iaitu 34 dan disusuli Mohd Razak Singah (dua), Mazlan (satu), Rus Bakaruraini (satu), Kang (satu), Azhar Abdul Shukri (satu) dan Hamzah (satu).
Persidangan Tiga Tahun Sekali Cuepacs akan berlangsung pada 21 dan 22 Disember dengan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Pemilihan diadakan pada hari kedua persidangan.