Rabu, 9 Januari 2013

SKUAD PENGGUNA: Ahli CUEPACS jadi 'mata telinga' KPDNKK: Metro 9. Jan. 2013


Skuad Pengguna

Oleh Hayati Ibrahim
Putrajaya: Seramai 10,500 ahli Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bakal menjadi ‘mata dan telinga’ Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) selepas dilantik sebagai ahli Skuad Pengguna.
Skuad Pengguna adalah pertubuhan sukarelawan yang diwujudkan untuk memperkasa pengguna di pasaran dan menggalakkan amalan perniagaan baik dalam kalangan peniaga.

Timbalan Menteri KPDNKK Datuk Rohani Abdul Karim berkata, ketika ini terdapat 80,000 ahli sudah berdaftar dan penyertaan CUEPACS akan memperhebatkan lagi skuad itu sekali gus membantu kerajaan mendapatkan maklum balas dan maklumat mengenai isu kepenggunaan di seluruh negara.
Katanya, kerjasama dengan CUEPACS dianggap satu platform terbaik kerana pertubuhan itu mempunyai 1.4 juta ahli yang boleh memainkan peranan secara langsung mengenai isu kepenggunaan sekali gus memulakan satu disiplin di mana kerajaan tidak perlu banyak campur tangan dalam isu berkaitan pengguna dan peniaga kerana mereka akan mengawalselia sendiri.

“Sekarang ini kalau ada apa-apa (berkaitan isu pengguna dan peniaga) kerajaan kena ambil tindakan, kita ingin mengurangkan campur tangan kerana di kebanyakan negara maju, pengguna dan peniaga sentiasa memantau antara satu sama lain, pegawai penguatkuasa pun tidak ada malah pengguna sendiri yang menjadi penguatkuasa,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kad Skuad Pengguna kepada ahli CUEPACS bahagian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman.

Tiada ulasan: