Khamis, 28 Oktober 2010

PELAN TAKAFUL KASIH 1 CUEPACS SASAR PREMIUM RM2J



Berita Harian
27/10/2010




HONG Leong Tokio Marine Takaful Bhd (HLTM Takaful) menyasarkan premium sehingga RM2 juta dalam tempoh 12 bulan akan datang daripada Pelan Takaful Kasih 1 CUEPACS yang diuruskannya di bawah inisiatif konsortium pengendali takaful Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS). Ketua Eksekutifnya, Ab Latiff Abu Bakar, berkata Pelan Takaful Kasih 1 CUEPACS itu adalah produk pertama daripada siri produk takaful yang akan diperkenalkan konsortium pengendali takaful CUEPACS.

Beliau berkata, konsortium itu merancang melancarkan sekurang-kurangnya lima lagi pelan takaful untuk ahli CUEPACS yang berjumlah 1.2 juta, sebelum akhir tahun ini.
“Bagi HLTM Takaful yang menjadi sebahagian konsortium pengendali takaful CUEPACS, kami menyasarkan melancarkan satu lagi produk sebelum akhir tahun,” katanya pada pelancaran Pelan Takaful Kasih 1 CUEPACS di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama Presiden CUEPACS, Omar Osman.

Pelan Takaful Kasih 1 CUEPACS menawarkan dua pelan takaful komprehensif iaitu simpanan dan perlindungan kemalangan diri akibat daripada kematian atau keilatan kekal menyeluruh (TPD). Untuk menyertainya, peserta perlu membeli sekurang-kurangnya satu unit bermula serendah RM10 sebulan untuk simpanan dan RM2 sebulan untuk perlindungan kemalangan diri. Penyertaan lebih daripada satu unit juga dibenarkan, tetapi sehingga maksimum 10 unit. Ab Latiff berkata, menerusi Pelan Takaful Kasih 1 CUEPACS itu, peserta Islam diberi pilihan memilih perkhidmatan ‘Badal Haji’ atau upah Haji bagi membantu mereka memenuhi sebahagian daripada lima Rukun Islam dalam keadaan peserta mengalami kematian atau TPD. Bagaimanapun katanya, pilihan itu harus dinyatakan ketika peserta mengisi borang permohonan Pelan Takaful Kasih 1 CUEPACS.

“Apabila berlaku kematian atau TPD, sebahagian manfaat peserta yang belum dibayar kepada peserta atau penama akan ditolak untuk pembayaran Badal Haji kepada TH Travel & Services Sdn Bhd,” katanya. Sementara itu, Omar berkata, pengenalan Pelan Takaful Kasih 1 CUEPACS itu selaras matlamat CUEPACS bagi membela kesejahteraan ahlinya dalam situasi membabitkan kemalangan, TPD atau kematian. “Matlamat kami ialah supaya sekurang-kurangnya setiap ahli CUEPACS mempunyai pelan perlindungan insurans bagi membantu mereka dan keluarga dalam menghadapi situasi kecemasan akibat kemalangan, TPD atau kematian,” katanya.

Khamis, 21 Oktober 2010

CUEPACS TETAP MAHU KERAJAAN PERTIMBANG PEMBERIAN BONUS DUA BULAN

Bernama
19/10/2010


KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama)-- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sekali lagi memohon supaya kerajaan mempertimbangkan pemberian dua bulan bonus kepada kira-kira 1.2 juta penjawat awam di negara ini.
Presidennya, Omar Osman berkata berdasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang menunjukkan peningkatan sebanyak 10.5 peratus tahun ini, beliau yakin kerajaan mampu berbuat demikian.

"Pertumbuhan KDNK negara kita telah melonjak kepada 10.5 peratus dan keadaan ekonomi negara sedang mantap, jadi tidak mustahil perkara itu (bonus) dapat dilaksanakan.
"Kita turut menghantar satu telegram kepada Perdana Menteri petang ini bagi menyatakan hasrat kita (supaya) dapat berjumpa beliau dengan harapan kerajaan dapat mempertimbangkan semula pemberian bonus itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Kongres Cuepacs kali ke-11 di Wisma Cuepacs hari Selasa.
Seramai 135 perwakilan kongres, termasuk dari Sabah dan Sarawak, menghadiri mesyuarat yang berlangsung selama dua jam itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembentangan Bajet 2011 di Dewan Rakyat Jumaat lepas, tidak mengumumkan bonus kepada kakitangan awam, sebaliknya memberi bantuan kewangan khas sebanyak RM500 bagi Gred 54 dan ke bawah, termasuk pegawai kontrak dan pesara kerajaan, bagi menampung perbelanjaan persiapan sekolah.
Omar berkata tuntutan pemberian bonus telah dibuat sejak beberapa tahun lepas, namun ditolak kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika itu.

Beliau yang berterima kasih di atas pemberian bantuan kewangan khas itu, masih berharap kerajaan dapat memberikan sekurang-kurangnya sebulan bonus.
Ditanya mengenai pemansuhan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang akan digantikan dengan sistem penilaian baru, Omar berkata, Cuepacs menyambut baik pengumuman itu, namun berharap mereka akan dipanggil berbincang mengenai penggubalan sistem baru tersebut.
"Kita berharap pada Julai 2011 nanti, sistem penilaian baru yang baik dapat diwujudkan, dan wakil dalam Cuepacs turut dipanggil bagi berbincang apakah sistem yang terbaik bagi penambahbaikan dalam perkhidmatan awam pada masa kini," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa PTK yang bakal diadakan bulan ini, tetap diteruskan sehingga satu sistem penilaian baru diwujudkan pada Julai tahun depan.
-- BERNAMA

___________________________________________________________________
Foto Media Cuepacs