Ahad, 14 Ogos 2011

Bengkel Teknik Menjawap Soalan UPSR 2011 Anjuran CUEPACS WPKL pada 30 Julai 2011














NAJIB BERBUKA PUASA BERSAMA 1,000 TETAMU DI SERI PERDANA



12 Ogos 2011


Bernama
11/8/2011



PUTRAJAYA, 11 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berbuka puasa bersama lebih 1,000 tetamu di kediamannya di Seri Perdana, di sini Khamis.

Mereka yang hadir terdiri daripada pemimpin-pemimpin Pemuda dan Wanita Barisan Nasional (BN), badan bukan kerajaan (NGO) belia dan kesatuan-kesatuan sekerja.

Antara yang kelihatan Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan sumbangan kepada 50 anak-anak yatim dari Darul Ruqayyah, Bangi dan Darul Kifayah, Kuala Lumpur.

Perdana Menteri bersama tetamu menunaikan solat Maghrib berjemaah dan kemudiannya solat Isyak dan sunat tarawih.


-- BERNAMA

10 Ogos 2011

ENAM KERAJAAN NEGERI UMUM BAYAR BONUS PENJAWAT AWAM

Bernama
10/8/2011



KUALA TERENGGANU, 10 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Terengganu, Pahang, Kelantan, Perak, Negeri Sembilan dan Selangor merupakan enam kerajaan negeri yang setakat ini mengumumkan keputusan untuk mengikut langkah kerajaan pusat membayar bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam pada bulan ini.

"Kalau kerajaan pusat beri bonus, kita pun akan bagi sebagaimana jumlah yang dibayar kepada penjawat awam," kata Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said.

Katanya ia melibatkan 20,000 penjawat awam termasuk pekerja badan berkanun. Ahmad berkata bayaran itu melibatkan peruntukan RM10 juta.

Di KUANTAN, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata pembayaran bonus di Pahang melibatkan 12,570 penjawat awam di negeri itu.

Di KOTA BAHARU, kerajaan negeri Kelantan akan turut membayar bonus setengah bulan gaji kepada 6,000 penjawat awamnya serta bayaran khas RM500 untuk para pesara.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata kerajaan Kelantan akan menanggung kos RM5 juta bagi membiayai pembayaran itu.

Di IPOH, kerajaan negeri Perak juga mengumumkan keputusan mengikut langkah kerajaan pusat membayar bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam pada bulan ini.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kerajaan negeri menyambut baik pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin lepas.

Beliau berkata bayaran itu melibatkan peruntukan RM6.5 juta.

Di SEREMBAN, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan pemberian bonus setengah bulan kepada 4,800 pegawai dan kakitangan yang berkhidmat dengan kerajaan negeri Negeri Sembilan.

Katanya pemberian bonus itu menyebabkan kerajaan negeri mengeluarkan belanja sebanyak RM4.8 juta.

Di SHAH ALAM, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut mengumumkan kerajaan negeri itu akan mengikut langkah kerajaan Persekutuan untuk memberi bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada kakitangannya pada tahun ini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengumumkan hanya pembayaran bonus RM500 kepada kakitangannya.

- BERNAMA

PEMBERIAN BONUS BUKTI KERAJAAN PRIHATIN - NGO

Utusan Malaysia
9/8/2011


KUALA LUMPUR 9 Ogos - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyambut baik pemberian bonus dan bayaran khas kepada kakitangan awam serta pesara dengan menyifatkan ia sebagai bukti kerajaan prihatin dalam membantu meringankan beban rakyat.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Lok Yim Pheng berkata, usaha kerajaan itu amat dihargai selain berharap jumlah pemberian itu dapat dinaikkan lagi selepas musim perayaan ini.

"Penambahan jumlah bonus ini adalah berdasarkan produktiviti dan pengiktirafan kepada mereka yang terus dan pernah berjasa dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan sektor awam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam dan bayaran khas kepada pesara kerajaan, semalam.

Bonus itu sebagai tanda menghargai sumbangan serta dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negara.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM), Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawan Teh berkata, bayaran khas itu membuktikan kerajaan masih prihatin terhadap pesara-pesara yang dahulunya pernah berkorban tenaga dan idea dalam proses pembinaan negara.

"Bagaimanapun, pesara kerajaan dinasihatkan supaya menggunakan bonus tersebut secara cermat dengan melakukan perkara yang berfaedah.

"Penjawat awam yang masih berkhidmat pula harus tekun bekerja dan taat kepada kerajaan supaya dapat melaksanakan hasil yang boleh diterjemahkan untuk kejayaan negara," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, pihaknya turut berharap agar kerajaan dapat memberi insentif kepada bekas kakitangan kerajaan yang bersara tanpa pencen.

"Sekiranya kerajaan bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan adalah baik juga sekiranya insentif itu turut diberikan kepada bekas kakitangan kerajaan yang bersara tanpa pencen.

"Ia adalah wajar kerana kebanyakan mereka adalah terdiri daripada bekas-bekas tentera yang dahulunya pernah berbakti kepada negara," katanya.

Presiden Persatuan Bekas Kastam Malaysia (Peberkas), Datuk Abdul Rahman Manan pula berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat meningkatkan jumlah pemberian minimum bonus tersebut daripada RM500 kepada RM1,000 ekoran harga barang yang semakin meningkat.

"Jumlah itu adalah wajar kerana harga barang di pasaran semakin meningkat selain dapat membantu pesara yang perlu membeli barangan keperluan bagi menyambut kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi," katanya.

09 Ogos 2011

TERIMA KASIH PM - CUEPACS

Utusan Malaysia
9/8/2011



KUALA LUMPUR 8 Ogos - Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di atas pengumuman pemberian bonus setengah bulan gaji kepada semua kakitangan awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman ketika dihubungi hari ini berkata, pihaknya menerima baik pemberian bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 pada pertengahan bulan ini.

Selasa, 10 Mei 2011

EJEN PEMANTAU PENJAWAT AWAM


Berita Harian
Oleh Syuhada Choo Abdullah dan S Anand Kumar
bhnews@bharian.com.my
2011/05/10

LAPORAN  akhbar kelmarin.

LAPORAN akhbar kelmarin.


Penilaian konsep 360 darjah tingkat kepemimpinan jabatan kerajaan

KUALA LUMPUR: Penilaian tahap kecekapan berkonsep 360 darjah mulai 1 Julai depan berkesan mewujudkan hubungan 'menang-menang' yang erat antara pihak pengurusan dan kumpulan pelaksana, serta mempertingkat daya kepemimpinan cemerlang, telus dan saksama dalam jabatan kerajaan.
Pelaksanaan konsep baru itu juga disifatkan sebagai ejen pemantau kepada pentadbiran dan jentera operasi dalam perkhidmatan awam berikutan semua penjawat menyedari prestasi mereka akan diperhati serta dinilai secara berterusan oleh penyelia, rakan sejawatan dan kakitangan bawahan.
Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata sistem penilaian baru itu mampu menjana pembangunan profesionalisme serta kerjaya berterusan di kalangan penjawat awam melalui kursus peningkatan kecekapan, berbanding kebanyakan kursus di bawah Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) lebih menjurus kepada program kesedaran dan motivasi.

“CUEPACS juga akan mencadangkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam perjumpaan esok (hari ini) supaya penilaian baru ini nanti turut memberi pertimbangan lebih 15 peratus kepada sumbangan kakitangan yang kreatif di luar bidang tugas hakiki mereka,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan, mulai 1 Julai depan, prestasi kakitangan awam akan dinilai menggunakan konsep 360 darjah oleh pegawai atasan, rakan sejawatan dan kakitangan bawahan bagi menentukan tahap kecekapan mereka untuk pertimbangan panel khas bagi kenaikan pangkat, pengisian jawatan kosong yang lebih tinggi serta penempatan baru.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Guru Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, pelaksanaan sistem itu mampu mengelakkan berlakunya penindasan dalam hubungan antara pegawai atasan dan kakitangan bawahan, sebaliknya tindakan diambil akan lebih berhati-hati serta mengambil kira kepentingan secara keseluruhan.
“Ini secara langsung akan menggalakkan jalinan kerjasama lebih padu yang bukan saja menguntungkan pihak pentadbiran, kumpulan pelaksana, jabatan dan negara tetapi juga pelanggan atau penerima perkhidmatan,” katanya.

Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), Hamzah Masri, berkata konsep penilaian baru itu diyakini lebih relevan dan berkesan berbanding penilaian berasaskan peperiksaan dalam PTK.

“Justeru, peluang kenaikan pangkat yang mengambil kira rekod penilaian perkhidmatan secara berterusan serta pembabitan dalam kursus peningkatan ilmu dan kecekapan, amat penting serta lebih ketara,” katanya.

Pengerusi Kesatuan Pegawai Kastam Wilayah Persekutuan, Jaapar Mansor berkata, penilaian yang mengutamakan prestasi kerja penjawat awam, lebih-lebih lagi untuk tujuan kenaikan pangkat, adalah lebih adil.

CUEPACS HARAP PELARASAN GAJI DISEGERAKAN

Utusan Malaysia
9/5/2011

KOTA BHARU 8 Mei – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan dapat mempercepatkan pelarasan gaji 1.4 juta kakitangan awam di negara ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, permohonan untuk pelarasan gaji itu telah dibuat dua tahun lalu bagi mengurangkan beban ahlinya ekoran kenaikan harga barang.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya tidak bermaksud mendesak kerajaan untuk berbuat demikian kerana memahami kedudukan kewangan negara dan sedar ia akan turut memberikan kesan kepada pekerja swasta.

“Kita sedar kenaikan harga barang adalah di luar kawalan dan kalau gaji kakitangan awam naik, kita bimbang ada golongan akan turut menaikkan harga barang dan bagaimana pula dengan bukan kakitangan awam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar Peranan Penjawat Awam Dalam Transformasi Nasional dan Bengkel Sistem Alternatif PTK oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin di sini hari ini.

Omar diminta mengulas mengenai khabar angin bahawa kakitangan awam akan menerima pelarasan gaji dalam masa terdekat.

Beliau berkata, langkah itu juga untuk mengurangkan jumlah kakitangan awam yang bekerja sambilan kerana rekod menunjukkan kira-kira 20 peratus daripada 730,000 kakitangan awam kelas sederhana melakukan kerja sambilan.

Katanya, CUEPACS tidak mahu kakitangan awam mengutamakan kerja sambilan sehingga menjejaskan produktiviti tugas hakiki mereka.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam proses terakhir untuk menyiapkan sistem penilaian baru bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).

“Kira-kira 90 peratus sistem penilaian baru itu telah siap dan kita akan berbincang buat kali terakhir dengan JPA Selasa ini bagi melengkapkan sistem penilaian baru itu,” katanya.

Rabu, 4 Mei 2011

GAJI PENJAWAT AWAM DI MALAYSIA MEMUASKAN?


KAJIAN Bank Dunia menunjukkan rekod pertumbuhan gaji tahunan di Malaysia sejak 10 tahun lalu hanyalah 2.6 peratus berbanding peningkatan berlipat ganda inflasi dan kos sara hidup semasa dalam tempoh yang sama.

Hal ini secara tidak langsung mengakibatkan kuasa beli berkurang bagi pendapatan setiap isi rumah.


Namun, gaji yang diterima oleh penjawat awam di Malaysia pada masa kini dilihat masih berada di tahap memuaskan dengan pendapatan per kapita sebanyak RM25,000 hingga RM30,000 setahun berbanding negara maju RM40,000 setahun.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman berkata, walaupun begitu kerajaan harus melakukan sesuatu dari sekarang agar pendapatan perkapita rakyat Malaysia setanding negara maju lain menjelang tahun 2020.

“Bagi Gred 41 ke atas, saya boleh kata gaji mereka memuaskan tapi bagi penjawat awam gred tertentu yang gajinya Rm3,000 ke bawah, mungkin akan jadi beban jika penyelarasan gaji tak dibuat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.


“Dua tahun kebelakangan ini kita lihat banyak harga barang yang naik. Penjawat awam yang bergaji rendah memerlukan sekurang-kurangnya tambahan RM500 untuk tanggung kos kenaikan ini,” katanya kepada Mingguan mStar.

Omar yang ditemuramah sempena Hari Pekerja 2011 berkata penyelarasan gaji penjawat awam perlu, seiring Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang menuntut penjawat awam melakukan perubahan positif dari segi cara kerja dan pemikiran.


Menjelang 2020, penjawat awam yang mantap dari peringkat atasan, pertengahan dan bawahan diperlukan untuk mengemudi sistem pentadbiran kerajaan yang tentunya lebih maju dan mencabar berbanding sekarang,


Menurut Omar, kali terakhir gaji penyelarasan gaji kakitangan awam dibuat pada 1 Julai 2007 dengan kenaikan sebanyak 35 peratus untuk penjawat awam Gred 1 hingga 16, 25 peratus untuk Gred 27 hingga 40, 15 peratus untuk Gred 41 hingga 54 dan 7.5 peratus bagi gred seterusnya.

“Pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-12 (MAPPA XII) Mac lalu, kita ada bincangkan tentang isu ini dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Kita minta kerajaan buat semakan gaji setiap lima tahun sekali dan berharap akan ada perubahan gaji dalam masa terdekat,” katanya.

Bagi merealisasikan kehendak kerajaan Omar mengakui penjawat awam perlu dipersiapkan dengan pemikiran bijaksana, kreativiti dan lebih inovatif dari sekarang.

Dalam pada itu, beliau kurang bersetuju dengan pendapat sesetengah pihak yang menyatakan penjawat awam seolah-olah tidak bersyukur walaupun menikmati pelbagai kemudahan yang diberikan kerajaan.

“Kita menghargai apa yang kerajaan beri. Apa yang kita minta adalah patut dan sesuai dengan peredaran semasa.

“Walaupun sudah dua tahun tak dapat bonus, semua penjawat awam masih setia berkhidmat dengan kerajaan dan produktiviti juga meningkat,” beliau memberi contoh.

PERBINCANGAN ALTERNATIF PTK DI ANTARA JPA DAN CUEPACS


Media Cuepacs
3/2/2011




Putrajaya: Satu perbincangan mengenai Alternatif PTK telah deiadakan diantara JPA dengan Majlis Tertinggi CUEPACS di Pusat Konvensyen Putra Jaya (PICC). Perbincangan ini di Ketuai Oleh Dato' Dr. Mohd. Azhar Bin Hj. Yahaya, Dato' Basarudin Sadli , Dato' Mat Aron dan Pegawai Tertinggi JPA, Wakil KKM, KSM dan lain- lain.

Bagi CUEPACS di ketuai oleh Dato' Haji Omar Osman Presiden, Sdra Azih Muda Tim. Presiden I, Sdri Lok Yim Peng Setiausaha Agung, Sdra Adnan Mat Tim. Setiausaha Agung I, Sdra Abdul Rahman Mohd Nordin Tim. Setiausaha Agung III, Sdra Ja'afar Mansor Setiausaha Kewangan, Sdra Mohd Razali Singah Tim. Setiausaha Kewangan dan Ahli Majlis Tertinggi CUEPACS.

Pembentangan dimulakan oleh Timbalam Presiden Cuepacs. dan kemudian pihak JPA. perbincangan masih lagi belu ada kata putus kerana CUEPACS dan JPA akan mencari keputusan yang terbaik.





Ahad, 1 Mei 2011

Akta Majlis Konsultasi Gaji Minimum Negara dibentang pada sesi Parlimen



2011/05/01

IPOH: Kementerian Sumber Manusia akan membentangkan Akta Majlis Konsultasi Gaji Minimum Negara pada sesi Parlimen akan datang, kata menteri berkenaan, Datuk Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata, apabila dipersetujui dan diluluskan, Majlis itu boleh membuat penyelarasan berhubung gaji minimum untuk sektor swasta mengikut peruntukan undang-undang.
"Melalui Majlis itu, kita akan membuat pengumuman tertentu yang perlu supaya gaji minimum sektor swasta adalah selaras dengan kos kehidupan semasa.
"Majlis ini juga mempunyai kuasa untuk memastikan apa yang ditetapkan dipatuhi oleh sektor swasta," katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Pekerja Cuepacs peringkat kebangsaan di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan gaji minimum sektor swasta.

Sebelum ini, kajian Kementerian Sumber Manusia pada 2009 yang merangkumi 1.3 juta pekerja di negara ini menunjukkan bahawa 33.8 peratus daripadanya menerima gaji kurang daripada RM700 sebulan, iaitu di bawah kadar kemiskinan RM720 sebulan.

Kadar gaji bagi pelbagai sektor pembuatan misalnya elektrik dan elektronik adalah RM500 hingga RM550; tekstil RM500 hingga RM600; perabot antara RM550 dan RM700; plastik RM550 hingga RM650 serta sarung tangan getah antara RM500 dan RM650.
Dalam perkembangan lain, Subramaniam berkata, dalam usaha untuk meningkatkan produktiviti perkhidmatan awam, tumpuan kepada penyelarasan dan penstrukturan semula sistem penyampaian sedia ada perlu dilakukan.

Katanya, kerajaan menyedari ada beberapa aspek perlu diberi perhatian dan diperhalusi dalam sistem penyampaiannya untuk mengurangkan kerenah birokrasi.

"Kita berharap pegawai dan petugas dalam perkhidmatan awam menerima perkembangan baru dalam suasana yang baik dan melalui pendekatan itu mereka boleh meningkatkan tahap praduktiviti mereka," katanya.

Pada sambutan itu, Pusat Perubatan Universiti Malaysia memenangi anugerah Majikan Prihatian Cuepacs dan Cuepacs Bahagian Wilayah Persekutuan memenangi anugerah Cuepacs Bahagian Contoh dengan kedua-dua menerima sijil penghargaan, wang tunai dan trofi. - BERNAMA

Khamis, 31 Mac 2011

TEMPOH SEMINGGU DIBERI KEPADA PENGHUNI KUARTERS JALAN COCHRANE





DATE : 30 MARCH 2011

http://www.dbkl.gov.my/portalv7/index.php?option=com_content&view=article&Itemid=6&id=909&lang=bm


dsc_4420 dsc_4426

Seramai 183 penghuni Kuarters Jalan Cochrane yang terdiri dari kakitangan kerajaan diberi tempoh seminggu lagi untuk berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Alam bermula 8 April ini. Yang Berbahagia Datuk Amin Nordin Abd Aziz, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan DBKL berkata, semua penghuni boleh mula berpindah selepas kerja membaik pulih kuarters itu selesai pada 7 April ini.

“Buat sementara waktu, kita sedang membaik pulih unit yang mengalami beberapa kerosakan kecil sebelum memberi kebenaran kepada penghuni menetap di kuarters Sri Alam,” katanya dalam sidang media di Menara DBKL 3, 30 Mac 2011. Sementara itu, 56 keluarga yang turut dipindahkan ke PPR Muhibbah itu merupakan pesara kerajaan dan dipindahkan di atas budi bicara kerajaan. “Keluarga pesara yang sudah hilang kelayakan menghuni kuarters kerajaan turut diberi peluang menduduki PPR ini demi menjaga kebajikan pesara-pesara kerajaan”, katanya lagi.

Tambahnya lagi, wang perbelanjaan sebanyak RM 2,000 turut diberikan kepada penduduk yang berpindah selain menyediakan bantuan perkhidmatan lori secara percuma bagi meringankan beban mereka. Turut hadir adalah Pengarah Pengurusan Perumahan DBKL, Encik Sukiman Surahman, Setiausaha Bahagian Pengurusan Hartanah Jabatan Perdana Menteri, Encik Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Encik Ja’apar Mansor.




Penghuni kuarters Jalan Cochrane diberi tempoh seminggu lagi

KUALA LUMPUR 30 Mac - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melanjutkan tempoh pemindahan penghuni kuarters kerajaan Jalan Cochrane di sini sehingga 7 April ini.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz berkata, lanjutan seminggu itu adalah bagi membolehkan mereka menerima surat tawaran rumah yang disediakan.

Seramai 183 penghuni akan berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam manakala 56 lagi ke PPR Kampung Muhibbah.

Penghuni selebihnya daripada 382 jumlah keseluruhan penghuni di Blok A dan B itu akan berpindah ke kuarters kerajaan di Putrajaya dan Jalan Duta.

"Tempoh yang ada sebelum surat tawaran diserahkan akan digunakan oleh DBKL untuk membaik pulih rumah yang ditawarkan supaya penghuni dapat masuk ke rumah yang lebih baik dan selesa.

"Penduduk akan tinggal di perumahan itu sehingga pembangunan di kawasan kuarters kerajaan Jalan Cochrane ini siap dan mereka akan dibenarkan untuk pulang semula ke sini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai perkara itu di Menara DBKL, Jalan Raja Abdullah di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Perumahan DBKL, Sukiman Surahman dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Hasnol Zam Zam Ahmad.

Sementara itu, Hasnol berkata, pihak BPH telah membuka bilik gerakan di kuarters itu bagi melancarkan urusan perpindahan penduduk serta memudahkan mereka mendapatkan bantuan perkhidmatan lori secara percuma.

Tambahnya, wang perbelanjaan perpindahan sebanyak RM2,000 juga turut diberikan kepada penduduk yang berpindah bagi meringankan beban mereka.


Penghuni dapat RM2,000

Harian Metro, 31 Mac 2011

KUALA LUMPUR: Seramai 183 keluarga kakitangan kerajaan bakal berpindah dari kuarters kerajaan Jalan Cochrane ke kuarters Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Alam, dekat sini, bermula 8 April ini.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Mohd Amin Nordin Abd Aziz, berkata semua penghuni boleh mula berpindah selepas kerja membaik pulih kuarters itu selesai pada 7 April ini.


“Selepas proses cabutan undi minggu lalu kita akan keluarkan surat tawaran kepada mereka yang berpindah bagi membolehkan keluarga berkenaan memindah barang ke kuarters itu.

“Buat masa ini, kita sedang membaik pulih unit yang mengalami beberapa kerosakan kecil sebelum memberi kebenaran kepada penghuni menduduki kuarters di Sri Alam,” katanya ketika sidang media di Menara DBKL, di sini, semalam.


Hadir sama, Setiausaha Bahagian Pengurusan Hartanah Jabatan Perdana Menteri, Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Ja’apar Mansor.


Menurut Mohd Amin, kos perpindahan turut disediakan termasuk lori bagi mengangkut barang juga diberikan secara percuma kepada penghuni yang berpindah.


Penghuni yang mahu berpindah perlu menetapkan tarikh masing-masing untuk menggunakan perkhidmatan lori mengangkut barang dalam masa seminggu selepas mendapat surat tawaran berpindah.


“Pilih tarikh untuk berpindah dalam masa seminggu selepas mendapat surat tawaran dan maklumkan kepada DBKL untuk pemindahan.

“Wang sagu hati sebanyak RM2,000 juga akan diberi kepada setiap keluarga bagi menanggung kos perpindahan setiap penghuni,” katanya.


Sementara itu, seramai 56 keluarga dari kalangan pesara kerajaan turut dipindahkan ke PPR Muhibbah atas budi bicara kerajaan.


“Keluarga pesara yang sudah hilang kelayakan menghuni kuarters kerajaan turut diberi peluang dan kita tawarkan mereka di PPR Muhibbah bagi menjaga kebajikan pesara kerajaan,” kata Mohd Amin.

Selasa, 22 Mac 2011

Mesyuarat JK CUEPACS Bahagian WPKL Bil. 4 Sesi 2010-2013

Tarikh : 24 Mac 2011 (Khamis)
Masa : 5.30 petang
Tempat : Wisma CUEPACS, 34A, Jalan Gajah, Off Jalan Yew Pudu, 55100 Kuala Lumpur
Agenda:-
- Ucapan Pengerusi
- Menerima dan mengesahkan Minit Mesyuarat
- Perkara Berbangkit
- Menerima dan mengesahkan Penyata Kewangan
- Membincangkan Makan Malam Aktiviti CUEPACS WPKL
- Hal-hal lain
Semua Pegawai Utama dan Wakil Kesatuan gabungan dipersilakan hadir

* Sila bawa salinan Pasport & KP serta Deposit RM 570.00 untuk lawatan Jakarta/Bandung

Selasa, 15 Februari 2011

Mesyuarat JK CUEPACS Bahagian WPKL Bil. 3 Sesi 2010-2013

Tarikh : 22 Februari 2011 (Selasa)

Masa : 5.30 petang

Tempat : Wisma CUEPACS, 34A, Jalan Gajah, Off Jalan Yew Pudu, 55100 Kuala Lumpur

Agenda:-

- Ucapan Pengerusi

- Menerima dan mengesahkan Minit Mesyuarat

- Perkara Berbangkit

- Menerima dan mengesahkan Penyata Kewangan

- Membincangkan Aktiviti CUEPACS WPKL

- Hal-hal lain

Semua Pegawai Utama dan Wakil Kesatuan gabungan dipersilakan hadir

Jumaat, 11 Februari 2011

Beri keutamaan naik pangkat pada lulusan PTK

Utusan Malaysia
ARKIB : 09/02/2011

SAYA ingin menyentuh tentang isu peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) untuk kakitangan awam yang telah dimansuhkan bermula 2011. PTK diwujudkan sebagai antara justifikasi utama dalam penilaian untuk kenaikan pangkat bagi kakitangan awam.

Walaupun ramai yang gembira dengan pemansuhan PTK tersebut (terutamanya Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), tetapi hakikatnya ramai juga yang menjadi mangsa akibat perubahan mendadak sesuatu sistem yang tiada kesinambungan.

Untuk makluman, sebaik sahaja disahkan jawatan, saya pun mendaftar untuk menduduki peperiksaan PTK tersebut. Prosesnya bukan mudah, perlu lulus dua jenis peperiksaaan (umum dan khusus). Malangnya, nasib tidak menyebelahi apabila saya gagal dalam salah satu peperiksaan.

Untuk mengulang, saya perlu menunggu sehingga keputusan peperiksaan asal dikeluarkan. Calon tidak dibenarkan mengulang selagi keputusan peperiksaan asal belum dikeluarkan. Tempoh menunggu ini menjangkau masa hampir satu tahun memandangkan kementerian tempat saya bekerja lambat mengeluarkan keputusan.

Selepas menduduki peperiksaan kali kedua, perlu pula menunggu lagi hampir lapan bulan untuk mengetahui keputusan peperiksaaan kedua (ulangan) tersebut. Kalau dicongak, dari tarikh saya menduduki peperiksaan pertama hingga keputusan peperiksaan kedua diumumkan, tempohnya hampir dua tahun.

Malangnya, setelah jerih dan payah menelaah dan menduduki peperiksaan, akhirnya PTK dimansuhkan begitu sahaja!

Saya lulus kedua-dua PTK umum dan khusus pada tahun 2010 dan tidak sampai setahun kemudian, PTK dimansuhkan. Saya berasa bahawa usaha saya selama dua tahun seperti terbuang begitu sahaja.

Masih terbayang kegembiraan ketika menerima slip keputusan lulus PTK yang kini boleh 'dibakulsampahkan' kerana sudah tiada nilai. Untuk pengetahuan, pada tahun 2009, saya telah dinafikan untuk kenaikan pangkat walaupun mendapat purata markah penilaian prestasi yang tinggi hanya kerana belum lulus PTK pada waktu itu.

Dalam pada itu, ramai juga rakan-rakan seangkatan yang langsung tidak peduli untuk menduduki PTK atas alasan tersendiri (mungkin malas untuk mengulang kaji atau tiada masa belajar).

Sebelum PTK dimansuhkan, saya berada selangkah di hadapan mereka untuk tujuan kenaikan pangkat kerana saya telah lulus PTK sedangkan mereka belum pun mendudukinya. Kini, setelah PTK dimansuhkan pada tahun 2011, keutamaan kenaikan pangkat untuk saya dengan mereka sudah tiada bezanya. Sekarang mereka berkata kepada saya: "Itulah, buat apa susah-susah ambil PTK?" Soalnya, manakah keadilan?

Saya percaya ramai lagi kakitangan awam yang lulus PTK mengalami nasib seperti saya. Saya berharap, setiap perubahan yang dilakukan oleh kerajaan perlu ada kesinambungan. Janganlah memulakan sistem baru dengan menghancurkan terus sistem yang lama.

Calon yang telah lulus PTK sebelum sistem tersebut dimansuhkan perlu diberi keutamaan untuk tujuan kenaikan pangkat. Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu melaksanakan perkara ini sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga tahun akan datang bagi memberi keadilan kepada lulusan PTK.

Selepas itu, barulah sistem baru dilaksanakan seperti yang dicadangkan oleh pihak-pihak berkenaan. Selain itu, sehingga hari ini tiada pekeliling yang dikeluarkan oleh JPA yang menjelaskan status atau kedudukan para lulusan PTK yang belum naik pangkat setelah PTK dimansuhkan.

Dalam hal ini, ketika CUEPACS memohon kepada kerajaan untuk memansuhkan PTK, mereka juga sepatutnya memikirkan alternatif kepada lulusan PTK agar nasib mereka tidak terabai begitu sahaja. Pihak berkenaan, perhatikan dan renungkanlah.

MANA KEADILAN?

Petaling Jaya, Selangor

Isnin, 17 Januari 2011

IKLAN JAWATAN KOSONG ( PENOLONG PEGAWAI EKSEKUTIF / PEMBANTU TADBIR P/O)



KONGRES KESATUAN PEKERJA-PEKERJA DI DALAM PERKHIDMATAN AWAM
Wisma CUEPACS, 34 A, Jalan Gajah Off Jalan Yew
Pudu 55100 Kuala Lumpur.
Tel : 03 9285 6110, 9285 0281 Fax : 03 9285 9457




IKLAN JAWATAN KOSONG


Warganegara Malaysia terutamanya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur atau yang berdekatan dengannya yang berumur tidak kurang dari 18 tahun pada tarikh iklan ditutup adalah dipelawa memohon untuk mengisi kekosongan jawatan di Ibu Pejabat CUEPACS sepertimana yang dinyatakan dibawah ini

A. PERIHAL JAWATAN :

Bil

Jawatan

Gred

Klasifikasi Perkhidmatan

Kumpulan Perkhidmatan

Taraf Jawatan

Jadual Gaji

1

PENOLONG PEGAWAI EKSEKUTIF

N27

Perkhidmatan Pentadbiran dan Sokongan

Sokongan

Tetap

P1T1 RM1204.55 - P1T26 RM3027.10

2

PEMBANTU TADBIR

[P/O]

N17

Perkhidmatan Pentadbiran dan Sokongan

Sokongan

Tetap

P1T1 RM830.28 - P1T20 RM2151.35

B. SYARAT LANTIKAN

1. PENOLONG PEGAWAI EKSEKUTIF

(a) (i) Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia atau

kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya, atau

( Gaji Permulaan pada gred N27 : P1T1 )

ii) Diploma dalam bidang Pentadbiran Awam yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi Pengajian Tinggi Tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya,

( Gaji permulaan pada Gred N27 : P1T5 )

(iii) Diploma dalam bidang Pengurusan Harta Benda yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi Pengajian Tinggi Tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya, ( Gaji permulaan pada Gred N27 : P1T6 ,)

(b) Syarat Kenaikan Pangkat secara Lantikan.

( i) Pegawai sedang berkhidmat dalam perkhidmatan Pembantu Tadbir ( Perkeranian & Operasi ), Pembantu Tadbir (Kesetiausahaan ), Pembantu Tadbir ( Kewangan ) adalah layak dipertimbangkan oleh Pihak Berkuasa Melantik berkenaan untuk kenaikan pangkat secara lantikan ke jawatan Penolong Pegawai Tadbir Gred N27, tertakluk kepada kekosongan jawatan, apabila :-

a) telah disahkan dalam perkhidmatan, atau

b) mempunyai kelayakan di perenggan (a)(i),

c) lulus peperiksaan khas.

c) Mempunyai kebolehan bertutur dan menulis dalam Bahasa Inggeris dengan baik.

d) Keutamaan diberi kepada calon-calon yang mempunyai pengetahuan dalam Kesatuan Sekerja.

2. PEMBANTU TADBIR [Perkeranian & operasi]

(a) (i) Sijil Pelajaran Malaysia atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan,

( Gaji permulaan pada gred N17 – P1T1 ),

(ii) Sijil Perancang Bandar dan Wilayah dari UiTM yang diiktiraf oleh Kerajaan setaraf dengannya,

( Gaji permulaan pada gred N17 – P1T6 ),

(iii) Sijil Institut Pertanian atau kelayakan yang diiktiraf

setaraf dengannya oleh Kerajaan

( Gaji permulaan pada Gred N17 – P1T8 ),

(iv) Sijil dalam bidang Kejuruteraan Ukur Tanah atau

Perancang Bandar dan Wilayah yang diiktiraf oleh Kerajaan dari Politeknik-Politeknik Tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya.

( Gaji permulaan pada Gred N17 – P1T9 )

(v) Sijil dalam bidang Pengurusan Perniagaan atau Penyimpan Kira-kira yang diiktiraf oleh Kerajaan daripada Politeknik-Politeknik serta kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan.

( Gaji permulaan pada Gred W17 : P1T9)


(b) Kepujian Bahasa Malaysia / Bahasa Melayu ( termasuk lulus Ujian Lisan ) pada peringkat SPM atau kelulusan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh Kerajaan,

( Keutamaan diberikan kepada calon yang berkebolehan mengendalikan komputer ),

(c) Calon yang memiliki kelayakan di perenggan (a)(i) atau (ii) diatas hendaklah lulus Bahasa Malaysia / Bahasa Melayu termasuk lulus ujian lisan pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya oleh kerajaan.

d) Mempunyai kebolehan bertutur dan menulis dalam Bahasa Inggeris dengan baik.

e) Keutamaan diberi kepada calon-calon yang mempunyai pengetahuan dalam Kesatuan Sekerja.

C : UMUR

1. Calon bagi lantikan hendaklah berumur

a) Tidak kurang dari 18 tahun pada tarikh iklan ditutup.

b) Tidak lebih dari 54 tahun pada tarikh lantikan.

D : BORANG PERMOHONAN

Permohonan hendaklah menggunakan Borang CUEPACS yang boleh didapati di Ibu Pejabat CUEPACS, Wisma CUEPACS, 34 A, Jalan Gajah Off Jalan Yew Pudu 55100 Kuala Lumpur.

E : ALAMAT PERMOHONAN

Borang permohonan yang telah lengkap dipenuhi hendaklah dikembalikan kepada :-

Setiausaha Agung
KONGRES KESATUAN PEKERJA-PEKERJA DI DALAM PERKHIDMATAN AWAM
Wisma CUEPACS, 34 A, Jalan Gajah Off Jalan Yew
Pudu 55100 Kuala Lumpur.


F : TARIKH TUTUP PERMOHONAN

Borang Permohonan yang telah lengkap dipenuhi hendaklah dikembalikan ke alamat di atas sebelum atau pada 14 Februari 2011. Permohonan yang diterima selepas dari tarikh tutup iklan tidak akan diberi pertimbangan.

G : DOKUMEN SOKONGAN

Semua dokumen sokongan yang dilampirkan hendaklah disahkan salinannya. Salinan Asal dokumen sokongan hanya perlu dibawa semasa menghadiri temuduga sahaja.