Sabtu, 21 Januari 2012

PERBINCANGAN SEMAKAN GAJI BABITKAN KESATUAN SEKERJA, WAKIL KEMENTERIAN

Utusan Malaysia
20/1/2012




Mohd. Sidek Hassan bersalam dengan Omar Osman (kanan) sambil disaksikan oleh Ismail Adam di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 18 Jan. - Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan memberi jaminan perbincangan pasukan petugas bagi mengkaji semula pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan turut membabitkan kesatuan sekerja jabatan yang berkaitan selain wakil kementerian.

Beliau berkata, langkah tersebut perlu bagi membolehkan pasukan petugas mendapatkan penyelesaian terbaik berkenaan isu-isu yang dibangkitkan.

''Kalau mahu semua terlibat, rasanya tidak mungkin untuk kita dapatkan wakil semua kementerian, agensi, badan berkanun dan kesatuan sekerja.

''Tetapi tidak dihadkan perbincangan bila ada menyentuh satu-satu skim perkhidmatan, maka harus dipanggil mereka yang terbabit seperti ketua setiausaha, ketua pengarah dan kesatuan sekerja yang terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan surat pelantikan ahli pasukan petugas itu di sini, hari ini.

Selain Tan Sri Ismail Adam yang dilantik sebagai pengerusi pasukan itu, sembilan ahli lain termasuk Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman turut menganggotai pasukan tersebut.

Pasukan itu ditubuhkan berikutan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas yang mahu SBPA disemak semula untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan pihak-pihak tertentu.

Menurut Mohd. Sidek, biar pun cuba memenuhi pandangan semua pihak, namun kerajaan juga mempunyai kekangan-kekangan tertentu.

''Dalam hal ini, sokongan dan kerjasama semua pihak amatlah saya hargai," katanya.

Sementara itu, Ismail yang juga bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berkata, berdasarkan pengalamannya, isu-isu yang dibangkitkan menjurus kepada tiga aspek iaitu pergerakan gaji, perkhidmatan dan individu (penjawat awam).

''Kalau ada ketiga-tiga isu itu kita akan bincang dengan teliti bersama-sama wakil skim perkhidmatan dan juga kesatuan yang berkenaan," katanya.

MESYUARAT PERTAMA SEMAK SBPA SELEPAS TAHUN BARU CINA

Utusan Malaysia
18/1/2012



PUTRAJAYA 17 Jan. - Mesyuarat pertama pasukan petugas bagi mengkaji semula pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dijangka diadakan selepas Tahun Baru Cina.
Pengerusinya, Tan Sri Ismail Adam berkata, pasukan petugas yang dianggotai pelbagai pihak itu akan mengenal pasti beberapa perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penjawat awam.

''Anggota pasukan petugas akan meneliti isu-isu berbangkit berhubung pelaksanaan SBPA, mereka akan membuat rumusan dan kita akan bertemu untuk berbincang mengenainya,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas mengarahkan SBPA disemak semula untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan pihak-pihak tertentu.

Berikutan itu, satu pasukan petugas ditubuhkan dipengerusikan Ismail yang juga bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berdasarkan pengalaman luas beliau dalam hal berkaitan perkhidmatan awam.

Pasukan tersebut dianggotai pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Awam; Jabatan Peguam Negara; Kementerian Kewangan; dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman serta pegawai kementerian yang berkaitan.

Mereka diberi tempoh dua bulan iaitu sehingga 16 April untuk mengkaji isu-isu tersebut dan seterusnya mengemukakan cadangan-cadangan kepada kerajaan. Penyerahan surat pelantikan kepada semua anggota pasukan petugas oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan akan berlangsung di sini, esok.

Ditanya gesaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) supaya wakil kesatuan itu turut dilantik menganggotai pasukan itu, Ismail berpandangan, kehadiran wakil CUEPACS mencukupi untuk mewakili kakitangan awam pelbagai bidang.

Mengenai tempoh dua bulan yang diperuntukkan kepada pasukan untuk menyelesaikan semakan semula, katanya, beliau yakin segala isu berbangkit akan dapat dirungkai mengikut had masa yang ditetapkan.

''Kita kena lihat sama ada isu-isu berbangkit itu mudah atau rumit. Kalau mudah tentunya kita akan dapat menyelesaikannya dengan cepat, namun saya pasti segala-galanya akan selesai mengikut had masa yang ditetapkan,'' katanya