Ahad, 13 Disember 2009

CUEPACS NAFI KHABAR ANGIN PENARIKAN BALIK COLA,ITP

Berita Harian
13/12/2009


PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menafikan khabar angin kerajaan akan menarik balik pembayaran Elaun Sara Hidup (Cola) dan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) kepada kakitangan awam mulai tahun depan. Presidennya, Omar Osman, berkata ini kerana sebarang penarikan elaun perlu dimaklumkan kepada Cuepacs. "Cuepacs tidak menerima sebarang maklumat mengenai penarikan balik elaun itu.
"Malah dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada bulan lalu pun, perkara berkenaan tidak dibincangkan langsung. "Mengikut kebiasaan, Cuepacs akan dimaklumkan terlebih dulu jika kerajaan ingin membuat sebarang perubahan dalam pembayaran elaun," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam. Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah laman web bahawa pembayaran Cola dan ITP yang dinikmati kakitangan awam ketika ini akan dihapuskan, dalam usaha menjimatkan perbelanjaan kerajaan yang masih belum pulih sepenuhnya ekoran daripada krisis kewangan dunia.
Cola diberi bagi membantu kakitangan awam berikutan peningkatan kos sara hidup dan kadarnya bergantung kepada lokasi selepas mengambil kira pelbagai kos seperti makanan, perumahan, pengangkutan, bayaran tol dan minyak. Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Omar berkata, penarikan balik elaun berkenaan juga tidak wajar kerana ia akan membebankan semua kakitangan awam khususnya kakitangan sokongan. "Tindakan menarik balik kedua-dua elaun itu akan memberi impak kepada semua kakitangan kerajaan bagi jangka masa yang panjang kerana jumlah elaun yang diterima itu agak besar. "Jika dilaksanakan juga, sebahagian besar kakitangan awam khususnya kumpulan sokongan akan berada di bawah Paras Garis Kemiskinan dan sekali gus boleh menjejaskan semua urusan seharian mereka," katanya.
Mengenai permohonan Cuepacs bagi mendapatkan tambahan bantuan khas RM500, beliau berkata, pihaknya tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara itu dan menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk mengumumkannya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

cola sudah ditarik balik...dan di potong sekali gus...kami warga seluruh warga tentera kecewa dgn apa apa yg berlaku.....apapun ingatlah...kakitangan awam mempunyai hak kuasa mengundi...kita tgklah nanti......mungkin sejarah hitam paklah akan berulang....tungguuuuuuuuuu