Khamis, 6 Mei 2010

OMAR BIDAS KETUA JABATAN LABEL CUEPACS HARAM

Sinar Harian
3/3/2010



KUALA TERENGGANU – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kesal dengan sikap segelintir ketua jabatan kerajaan yang menyifatkan Cuepacs sebagai haram dan melarang pekerjanya menghadiri perhimpunan anjuran kesatuan itu. Presidennya, Omar Osman berkata, pihaknya kini masih menunggu laporan sebelum mengemukakan nama jabatan yang sukar memberikan kerjasama itu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Menurutnya, Pengerusi Cuepacs setiap negeri keti
ka ini telah diarah mendapatkan butir mengenai jabatan yang mengharamkan Cuepacs dan laporan mengenainya akan dibawa pada peringkat kerajaan. “Kami terima maklumat, ada sesetengah ketua jabatan tidak menyokong dan mengharamkan pekerja mereka menjadi ahli Cuepacs untuk menyertai perhimpunan atau program yang kami adakan, seolah-olah Cuepacs seperti sebuah kesatuan tidak berdaftar. “Malah, ada ketua jabatan yang bertindak menukar pekerja mereka ke tempat lain gara-gara pekerja mereka aktif dalam Cuepacs dan keadaan ini tidak adil,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis perasmian Sambutan Hari Pekerja Sektor Awam 2010, anjuran Cuepacs di Stadium Negeri, di sini, semalam. Mengulas lanjut, beliau berkata, sikap segelintir ketua jabatan terbabit menyebabkan pekerja mereka sentiasa khuatir kerana takut ditukar, seterusnya menjadikan suasana kerja tidak lagi harmoni. “Sepatutnya ketika ini Cuepacs memperjuangkan nasib pekerja sektor awam membabitkan semua peringkat dan ketua jabatan berkenaan perlu memberikan kerjasama. "Jika ada perkara yang tidak betul, mereka boleh ketengahkan dalam Majlis Bersama Jabatan (MBJ) yang diiktiraf kerajaan," katanya.

CUEPACS KAJI LANGKAH TANGANI RASUAH

Sinar Harian
3/5/2010




KUALA TERENGGANU – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan mengkaji semula langkah yang lebih efektif terutama membabitkan gejala rasuah dalam kalangan kakitangan awam di negara ini. Pengarah Cuepacs Malaysia, Omar Osman berkata, mengikut kajian tahun lalu, peratusan kakitangan awam yang terb
abit penerimaan rasuah sebanyak 41 peratus dan gambaran berkenaan menunjukkan perkembangan serius. “Ini sebab, dalam usaha meningkatkan produktiviti dan integriti pekerja dalam kalangan sektor awam, masalah rasuah sebenarnya boleh dihapuskan kerana kerajaan banyak menyediakan peruntukan sama ada kenaikan gaji atau pemberian elaun serta bonus. “Justeru, tiada sebab kakitangan awam masih menerima rasuah dan perkara ini sebenarnya tidak berlaku dalam negara yang meningkat maju,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis makan malam meraikan kakitangan dalam sektor awam sempena Hari Pekerja di stadium tertutup Gong Badak, Kuala Nerus. Menurutnya, setakat ini sebanyak 120 gabungan Cuepacs di Malaysia, membabitkan ahli seramai 900,000 orang perlu dijaga kebajikan mereka agar mampu melahirkan pekerja berkualiti dalam konsep 1Malaysia. “Cuepacs juga telah membuat semakan baru terutama dalam kenaikan gaji kakitangan awam, namun apa yang penting, mereka perlu membuat anjakan baru sebelum kadar gaji baru diumumkan kelak. “Kita tidak mahu hanya kerajaan sahaja bersungguh menjaga kebajikan kakitangan tetapi komitmen daripada pekerja tidak dapat ditunjukkan dengan baik kerana negara bergantung kepada tenaga kerja mereka,” katanya. Sementara itu, Omar berkata, Cuepacs turut mengharapkan kerajaan dapat mempertimbangkan semula kadar kenaikan gaji baru dalam masa terdekat ini seperti disyorkan pada Julai ini. “Kami berharap akan ada reaksi positif daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menilai semula isu kenaikan gaji dan pada masa sama, ekonomi negara juga akan pulih dalam jangka waktu terdekat,” katanya.

SPRM PERLU TUMPU ASPEK PENYELIDIKAN

Berita Harian
Oleh Mohd Anwar Patho
Rohmanwananwar@bharian.com.my
2010/05/06

Laporan, fakta tepat elak salah penilaian CPI

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disaran mewujudkan 'hubungan mesra' dengan pihak penilai Indeks Persepsi Rasuah (CPI) supaya mereka dapat memberikan laporan tepat mengenai usaha suruhanjaya itu menangani gejala rasuah di negara ini.
Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM, Tan Sri Hadenan Abdul Jalil, berkata tanpa hubungan baik itu, pihak penilai CPI seperti Tranparency International (TI) dalam dan luar negara mungkin akan membuat laporan tidak tepat mengenai gejala rasuah di Malaysia.
“Kita menggalakkan SPRM mengambil pendekatan mendekati pihak membuat penilaian rasuah kita kerana CPI kita sering dipertikai oleh penilai sama ada dari dalam atau luar negara. “Mungkin disebabkan ketiadaan hubungan rapat ini, penyelidik mereka tidak membuat penyelidikan yang betul sehingga membuat kesimpulan yang salah terhadap CPI kita,” katanya pada sidang media di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di sini, semalam. Mengulas lanjut, Hadenan berkata, selain SPRM, kerajaan juga wajar memberikan fakta tepat dan menjelaskan kepada masyarakat termasuk badan penilai rasuah mengenai CPI. Katanya, panel berkenaan turut mencadangkan SPRM mewujudkan unit penyelidikan mengenai bidang yang berisiko berlaku rasuah. “Sudah sampai masa SPRM memantapkan lagi penyelidikan untuk membolehkan mereka membuat kerja lebih berkualiti,” katanya. Sementara itu, katanya, panel penilaian secara keseluruhannya menerima dengan positif laporan operasi SPRM dan berharap suruhanjaya itu akan menjadi agensi penguatkuasaan yang bebas, telus dan profesional. Hadenan berkata, panel penilaian turut berbangga dengan peningkatan kesedaran penjawat awam untuk tidak terbabit dalam rasuah bagi tempoh 2005 hingga 2009.

Tiada ulasan: