Rabu, 22 September 2010

Pemilihan: Kontrak Cuepacs presiden disambung, pendiriannya penentu saingan

http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pemilihan-kontrak-cuepacs-presiden-disambung-pendiriannya-penentu-saingan/
September 22, 2010

KUALA LUMPUR, 22 Sept — Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), badan induk kesatuan perkhidmatan kerajaan, dijangka bakal berhadapan dengan saingan sengit pemilihan yang dijadual untuk dilangsungkan hujung tahun ini.

Dua badan induk kesatuan sekerja negara ini akan mengadakan pemilihan sekitar Disember. Selain Cuepacs, turut akan mengadakan pemilihan ialah Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang akan menyaksikan kekosongan kerusi setiausaha agung.

Tumpuan kini beralih sama ada Omar Osman yang memimpin Cuepacs sejak empat tahun lalu akan mempertahankan kedudukannya.

The Malaysian Insider difahamkan Omar akan mengumumkan pendirian beliau pada 8 Oktober ini. Cuepacs yang terdiri daripada 120 anggota gabungan mewakili 300,000 kakitangan awam akan mengadakan mesyuarat kongres pada 8 Oktober.

Omar, 58, telah disambung perkhidmatan beliau awal minggu ini.

Difahamkan kontrak perkhidmatan staf Universiti Putra Malaysia ini disambung, dipercayai enam bulan lagi.

Cuepacs akan mengadakan mesyuarat majlis kongres 8 Oktober ini bagi membincangkan tarikh pemilihan yang bakal diadakan sempena persidangan perwakilan tiga tahun sekali.

“Saya akan membuat pengumuman sama ada bertanding atau tidak pada 8 Oktober ini... jika anggota gabungan mahu saya bertanding, saya akan bertanding, saya serah kepada mereka meskipun saya menerima sokongan ketua jabatan dan ketua pengarah perkhidmatan awam agar perkhidmatan saya disambung.

“Saya tidak tahu sama ada akan dipilih semula atau tidak, terpulang kepada perwakilan. jika saya dipilih semula, saya akan meneruskan khidmat sebagai presiden (Cuepacs),” kata beliau yang merujuk kepada sokongan perkhidmatan awam meneruskan tempoh khidmat dalam kerajaan.

Justeru, keputusan Omar dijangka akan menjadi penentu sama ada jawatan itu akan kosong presiden ataupun sebaliknya.

Jika Omar mengosongkan kedudukan itu kerusi tersebut kemungkinan akan menjadi saingan antara dua timbalan presiden masing-masing Aziz Muda dan Husin Mohd Yasin serta Setiausaha Agung Ahmad Shah Mohd Zin.

Aziz, Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Penguasa Tempatan (Anulae) ketika dihubungi mengakui memang ada hasrat untuk bertanding jawatan presiden.

“Bagaimanapun jika Omar masih mahu bertanding, saya akan beri beliau laluan,” kata pemimpin berusia 53 tahun ini.

Bagaimanapun Husin berkata, masih awal untuk membuat pengumuman mengenai perkara itu.

“Kita tunggu dan lihat dulu. Masih terlalu awal, pemilihan masih jauh lama. Lagipun, saya kena berbincang dengan kawan-kawan saya,” kata presiden Kesatuan Kakitangan AM Universiti Malaya ini.

Ahmad Shah, setiausaha agung dua penggal hanya mahu membuat pendiriannya pada 8 Oktober.

“Kita tunggu hasil mesyuarat, saya akan membuat keputusan sebelum saya pergi mengerjakan haji,” kata beliau.

Persidangan perwakilan tiga tahun sekali kali ini dijangka akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Tiada ulasan: