Ahad, 17 Januari 2010

KERAJAAN DIGESA UBAH NAMA JAWATAN "PA" KEPADA SETIAUSAHA TADBIR

Bernama
17/01/2010 7:11pm




PUTRAJAYA 17 Jan — Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan menggunakan istilah ”Setiausaha Tadbir” bagi jawatan pembantu perbadi (PA) yang kini digelar ”Penolong Setiausaha Tadbir” berbanding mengubah nama kepada ”Setiausaha Pejabat”.
Presiden CUEPACS Omar Osman berkata menurut surat Pekeliling Perkhidmatan Awam 2009 No.27, jawatan ”Pembantu Peribadi” telah dikuatkuasakan pada 1 Jan tahun ini tetapi belum dilaksanakan.
“Oleh itu, kami akan mengadakan pameran bergerak dan akan meminta semua ahli-ahli negeri memberi taklimat mengenai perkara tersebut,” katanya pada sidang media selepas memberi taklimat mengenai perkara itu kepada kira-kira 200 petugas awam di sini hari ini. — Bernama

1,000 KAKITANGAN JPNK DITAMAT KONTRAK

Berita Harian
16/1/2010




KOTA BHARU: Kongres Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendedahkan kira-kira 1,000 kakitangan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPNK) yang kontrak mereka ditamatkan pada 2008 dan tahun lalu, menagih pembelaan. Berikutan itu, Cuepacs akan mengatur pertemuan dengan bekas pekerja berkenaan pada awal Mac ini bagi membincangkan masalah mereka. Pada masa yang sama Cuepacs berharap JPNK menimbang keputusan menyambung semula kontrak pekerja berkenaan yang kini mengalami tekanan hidup.
Pengerusinya, Omar Osman berkata pihaknya diberitahu ada antara bekas pekerja itu meminjam daripada ceti haram atau along untuk menyara keluarga dan membiayai perbelanjaan persekolahan anak. Ketika dihubungi Berita Harian, Omar menjelaskan ada yang gagal membayar balik pinjaman along dan terpaksa menghilangkan diri buat sementara waktu kerana bimbang keselamatan diri. Katanya, kebanyakan pekerja yang ditamatkan kontrak perkhidmatan itu sudah bekerja lebih 20 tahun. Disebabkan faktor usia, mereka sukar mendapat pekerjaan baru.
"Ada antara mereka menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dan menelefon saya sambil menangis mengadu masalah termasuk mahu meminjam wang bagi membantu membayar keperluan persekolahan anak. "Bagi yang terdesak, mereka meminjam wang daripada along sehingga RM5,000, selain bank untuk membiayai keperluan hidup dan persekolahan anak-anak. "Sekarang along dan bank sudah kejar mereka untuk menuntut bayaran berkenaan, malah ada kereta yang ditarik akibat gagal membayar ansuran bulanan," katanya.

AGENSI PERLU IKUT GARIS PANDUAN JPA

Berita Harian
Oleh Sazarina Shahrim
sazarina@bharian.com.my
15/1/2010



Ketua jabatan tidak boleh buat syarat tambahan sendiri isu kenaikan pangkat

PUTRAJAYA: Semua ketua jabatan dan agensi kerajaan pada peringkat negeri perlu mengikut garis panduan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung proses kenaikan pangkat pegawai sokongan yang berkhidmat lebih 15 tahun tanpa mengenakan syarat tambahan. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, berkata pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang syarat tambahan termasuk menghalang kakitangan yang merokok daripada dinaikkan pangkat.
"JPA sudah menetapkan garis panduan dan berharap (ketua jabatan dan agensi kerajaan) ikutlah. Tidak boleh sengaja buat syarat tambahan sendiri," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam. Beliau mengulas pendedahan Presiden Cuepacs, Omar Osman, kelmarin, bahawa ada ketua jabatan dan agensi kerajaan pada peringkat negeri yang mengenakan syarat pelik apabila tidak membenarkan pegawai merokok naik pangkat mengikut skim Khas Untuk Penyandang yang berkuat kuasa 1 Julai lalu. Antara syarat kenaikan pangkat bagi kumpulan itu yang dikeluarkan JPA ialah perlu berkhidmat lebih 15 tahun dan memperoleh markah 80 peratus ke atas bagi Laporan Penilaian Prestasi Tahunan tiga tahun terkini serta lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).
Skim KUP yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam Mei lalu itu, dijangka memberi manfaat kepada 176,066 pegawai kumpulan sokongan dalam perkhidmatan Persekutuan yang berkhidmat lebih 15 tahun dengan membabitkan kos sebanyak RM170.4 juta. Ismail bagaimanapun berkata, sehingga ini JPA tidak menerima laporan atau aduan seperti didakwa Cuepacs itu dan hanya mengetahuinya menerusi laporan media massa. "Saya minta supaya mereka yang ada maklumat itu tampil dan membuat laporan supaya JPA boleh siasat dan kalau benar, tindakan akan diambil," katanya.

Tiada ulasan: