Khamis, 23 Disember 2010

Kesilapan panel ‘kejutkan’ perwakilan tapi Omar kekal presiden, Lok SU Agung

December 23, 2010

KUALA LUMPUR, 23 Dis — Kemenangan Omar Osman sebagai presiden dan Lok Yim Peng selaku setiusaha agung tidak terjejas meskipun panel pemilihan Cuepacs membuat kesilapan ‘teknikal’ ketika membuat pengumuman keputusan pagi tadi.

Wakil jawatankuasa pemilihan tersilap mengumumkan bahawa jawatan setiausaha agung telah dimenangi oleh Ahmad Shah Mohd Zin sedangkan Lok menewaskan beliau dengan memperoleh 468.

Perwakilan persidangan Cuepacs kelihatan tersentak apabila diumumkan bahawa yang menang jawatan itu ialah Ahmad Shah, yang merupakan penyandang.

Keputusan tidak rasmi sudah pun diketahui lewat malam tadi.

Bagaimanapun kesilapan itu dibetulkan dengan Lok diisytiharkan sebagai pemenang dengan mengatasi dua pencabar. Ahmad Shah mendapat 263 undi.

Jawatan itu turut ditanding oleh muka baru Ku Azmi Ku Ibrahim yang mendapat 278 undi.

Keputusan rasmi diumumkan pagi ini — hari terakhir persidangan tritahunan yang diadakan di kampus Universiti Malaya di sini.

The Malaysian Insider membawa laporan berdasarkan keputusan tidak rasmi awal pagi tadi.

Omar mengekalkan jawatannya dengan memperoleh 815 undi manakala pencabarnya Ramli Omar mendapat 154 undi.

Beberapa perwakilan memberitahu The Malaysian Insider, kejayaan selesa Omar berhubung kait dengan hubungan secara langsung beliau dengan kesatuan-kesatuan gabungan Cuepacs selama ini.

“Saya melihat beliau mendapat banyak undi simpati memandangkan beliau kelihatan seorang pemimpin yang senang didekati, malah beliau banyak membantu kesatuan dengan memberikan sokongan kewangan,” kata seorang pegawai kanan kesatuan.

Cuepacs kini mempunyai sokongan kewangan lebih baik berbanding dekad-dekad sebelum ini dengan memperoleh geran tahunan kerajaan. Malah, walaupun isu lanjutan kontrak perkhidmatan ditimbulkan, Omar dilihat menguasai sokongan besar perwakilan sejak awal lagi. Ramli berganding dengan Ahmad Shah yang mempertahankan jawatan setiausaha agung buat penggal ketiga.

Kemenangan Lok pula banyak dikaitkan dengan pengaruh beliau dalam Majlis Bersama Kebangsaan Kumpulan Sokongan Am yang menyediakan sekitar 400 undi.

Pemimpin-pemimpin kesatuan gabungan Cuepacs juga mengganggotai tiga Majlis Bersama Kebangsaan pekhidmatan awam.

Dua lagi majlis adalah bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional dan Sains dan Teknologi.

Lok dilihat menerima sokongan daripada anggota kedua-dua Majlis Bersama Kebangsaan Kumpulan Sokongan Am dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

Selain itu, isu projek berita SMS Cuepacs juga dilihat menjejaskan sokongan Ahmad Shah meskipun Omar menjelaskan perwakilan pada hari persidangan bahawa isu itu telah selesai dan tiada penyelewengan ataupun salah guna kuasa.

Lok, yang turut dicalonkan bertanding jawatan timbalan presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), yang pemilihannya akan diadakan minggu depan.

Ini kali kedua seorang wanita dipilih sebagai setiausaha agung Cuepacs. Ahmad Shah ketika dihubungi berkata beliau menerima kekalahan tetapi “apa yang lebih penting ialah pembangunan organisasi Cuepacs.”

“Pemimpin silih berganti, datang dan pergi. Perjuangan Cuepacs mesti diteruskan, kepentingan kakitangan perlu diperjuangkan,” katanya lagi.

Bagaimanapun beliau tidak menolak kekalahannya juga berpunca daripada taktik kotor yang digunakan pihak pesaing.

“Isu-isu yang sudah selesai dibangkitkan, memang ada taktik kotor, isu lama ditimbulkan semula dan ada unsur provokasi,” katanya.

Jawatan timbalan presiden pula dimenangi oleh Azih Muda dan Zainal Ismail yang masing-masing mendapat 754 dan 431 undi. Azih, yang juga timbalan presiden semasa, atas kapasiti sebagai timbalan presiden I akan menggantikan Omar apabila beliau bersara tahun depan, dipercayai awal September.

“Dengan kemenangan ini, kami akan memberi tumpuan ke atas soal-soal kebajikan kakitangan awam seperti pemilikan rumah, pinjaman perumahan, pembangunan kerjaya dengan menyediakan kemudahan melanjutkan pelajaran, penambahbaikan skim perkhidmatan,” kata beliau.

Tiga kerusi jawatan timbalan setiausaha agung dimenangi oleh Adnan Mat, Abd Rahman Norrdin dan Mohamad Baharom. Adnan memperoleh 679 undi, Abd Rahman (527) dan Mohamad (570).

Adnan merupakan penyandang jawatan itu. Jawatan setiausaha kewangan yang menyaksikan persaingan satu lawan satu dimenangi Ja’apar Mansor, yang menewaskan Samuel Devadasan.

Azhar Abdul Shukri menewaskan Hamzah Masri untuk menerajui jawatan timbalan setiausaha kewangan

Tiada ulasan: