Khamis, 23 Disember 2010

PM UMUM GERAN 3 JUTA UNTUK CUEPACS

Utusan Malaysia
21/12/2010

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak pagi ini mengumumkan pemberian geran RM3 juta kepada Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) pada tahun depan.
Perdana Menteri berkata, RM2 juta daripada geran itu adalah untuk belanja pengurusan manakala bakinya adalah untuk menaik taraf ibu pejabat kesatuan itu. - Utusan




GERAN TAHUNAN CUEPACS DITAMBAH KEPADA RM2 JUTA SETAHUN

Bernama
21/12/2010


KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Geran tahunan kerajaan kepada Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan dinaikkan kepada RM2 juta setahun bermula tahun depan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri yang menyampaikan berita baik itu pada konvensyen Cuepacs di sini hari ini, turut mengumumkan pemberian RM1 juta untuk kongres berkenaan membaik pulih ibu pejabatnya yang dikatakan sudah 'terlalu uzur'.

Pengumuman Najib itu adalah sebagai membalas ucapan Presiden Cuepacs Omar Osman yang 'menyelit' permintaan kepada kerajaan supaya menimbangkan peruntukan bagi membaiki pejabat kongres berkenaan.

Hanya tahun lepas, kerajaan menaikkan geran tahunan kepada Cuepacs daripada RM350,000 kepada RM1 juta.

Pada majlis sama, Najib turut menyaksikan acara menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) pembentukan Konsortium Pengendali Takaful Cuepacs antara Dar Al Istithmar Sdn Bhd dan lima syarikat pengendali takaful, terdiri Takaful Malaysia, Takaful Ikhlas, Etiqa Takaful, HLTM Takaful dan MAA Takaful.

Pembentukan konsortium itu bertujuan membantu penjawat awam mendapat tawaran skim perlindungan mampu milik tetapi dalam masa sama mencukupi dalam menyediakan tabungan semasa berlaku bencana atau malapetaka.

Takaful Kasih 1 Cuepacs adalah antara skim pertama yang dilancarkan dan telah tersedia untuk disertai oleh penjawat awam.

Mengulas perkara itu, Omar berkata, pembentukan Konsortium Pengendali Takaful di bawah Cuepacs adalah satu usaha membantu penjawat awam untuk berjimat dan merancang kewangan mereka.

"Usaha ini juga membuktikan bahawa Cuepacs bukanlah hanya bertindak sebagai badan pendesak semata-mata dan bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan untuk bergerak, tetapi mempunyai program konkrit yang terancang dan terurus serta berkesan dalam membantu penjawat awam melalui program sebegini," katanya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: