Ahad, 14 Ogos 2011

NAJIB BERBUKA PUASA BERSAMA 1,000 TETAMU DI SERI PERDANA



12 Ogos 2011


Bernama
11/8/2011



PUTRAJAYA, 11 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berbuka puasa bersama lebih 1,000 tetamu di kediamannya di Seri Perdana, di sini Khamis.

Mereka yang hadir terdiri daripada pemimpin-pemimpin Pemuda dan Wanita Barisan Nasional (BN), badan bukan kerajaan (NGO) belia dan kesatuan-kesatuan sekerja.

Antara yang kelihatan Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan sumbangan kepada 50 anak-anak yatim dari Darul Ruqayyah, Bangi dan Darul Kifayah, Kuala Lumpur.

Perdana Menteri bersama tetamu menunaikan solat Maghrib berjemaah dan kemudiannya solat Isyak dan sunat tarawih.


-- BERNAMA

10 Ogos 2011

ENAM KERAJAAN NEGERI UMUM BAYAR BONUS PENJAWAT AWAM

Bernama
10/8/2011



KUALA TERENGGANU, 10 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Terengganu, Pahang, Kelantan, Perak, Negeri Sembilan dan Selangor merupakan enam kerajaan negeri yang setakat ini mengumumkan keputusan untuk mengikut langkah kerajaan pusat membayar bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam pada bulan ini.

"Kalau kerajaan pusat beri bonus, kita pun akan bagi sebagaimana jumlah yang dibayar kepada penjawat awam," kata Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said.

Katanya ia melibatkan 20,000 penjawat awam termasuk pekerja badan berkanun. Ahmad berkata bayaran itu melibatkan peruntukan RM10 juta.

Di KUANTAN, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata pembayaran bonus di Pahang melibatkan 12,570 penjawat awam di negeri itu.

Di KOTA BAHARU, kerajaan negeri Kelantan akan turut membayar bonus setengah bulan gaji kepada 6,000 penjawat awamnya serta bayaran khas RM500 untuk para pesara.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata kerajaan Kelantan akan menanggung kos RM5 juta bagi membiayai pembayaran itu.

Di IPOH, kerajaan negeri Perak juga mengumumkan keputusan mengikut langkah kerajaan pusat membayar bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam pada bulan ini.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kerajaan negeri menyambut baik pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin lepas.

Beliau berkata bayaran itu melibatkan peruntukan RM6.5 juta.

Di SEREMBAN, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan mengumumkan pemberian bonus setengah bulan kepada 4,800 pegawai dan kakitangan yang berkhidmat dengan kerajaan negeri Negeri Sembilan.

Katanya pemberian bonus itu menyebabkan kerajaan negeri mengeluarkan belanja sebanyak RM4.8 juta.

Di SHAH ALAM, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut mengumumkan kerajaan negeri itu akan mengikut langkah kerajaan Persekutuan untuk memberi bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada kakitangannya pada tahun ini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengumumkan hanya pembayaran bonus RM500 kepada kakitangannya.

- BERNAMA

PEMBERIAN BONUS BUKTI KERAJAAN PRIHATIN - NGO

Utusan Malaysia
9/8/2011


KUALA LUMPUR 9 Ogos - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyambut baik pemberian bonus dan bayaran khas kepada kakitangan awam serta pesara dengan menyifatkan ia sebagai bukti kerajaan prihatin dalam membantu meringankan beban rakyat.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Lok Yim Pheng berkata, usaha kerajaan itu amat dihargai selain berharap jumlah pemberian itu dapat dinaikkan lagi selepas musim perayaan ini.

"Penambahan jumlah bonus ini adalah berdasarkan produktiviti dan pengiktirafan kepada mereka yang terus dan pernah berjasa dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan sektor awam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bersetuju membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam dan bayaran khas kepada pesara kerajaan, semalam.

Bonus itu sebagai tanda menghargai sumbangan serta dedikasi penjawat awam dalam memudah dan menjayakan pelaksanaan program pembangunan negara.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM), Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawan Teh berkata, bayaran khas itu membuktikan kerajaan masih prihatin terhadap pesara-pesara yang dahulunya pernah berkorban tenaga dan idea dalam proses pembinaan negara.

"Bagaimanapun, pesara kerajaan dinasihatkan supaya menggunakan bonus tersebut secara cermat dengan melakukan perkara yang berfaedah.

"Penjawat awam yang masih berkhidmat pula harus tekun bekerja dan taat kepada kerajaan supaya dapat melaksanakan hasil yang boleh diterjemahkan untuk kejayaan negara," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, pihaknya turut berharap agar kerajaan dapat memberi insentif kepada bekas kakitangan kerajaan yang bersara tanpa pencen.

"Sekiranya kerajaan bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan adalah baik juga sekiranya insentif itu turut diberikan kepada bekas kakitangan kerajaan yang bersara tanpa pencen.

"Ia adalah wajar kerana kebanyakan mereka adalah terdiri daripada bekas-bekas tentera yang dahulunya pernah berbakti kepada negara," katanya.

Presiden Persatuan Bekas Kastam Malaysia (Peberkas), Datuk Abdul Rahman Manan pula berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat meningkatkan jumlah pemberian minimum bonus tersebut daripada RM500 kepada RM1,000 ekoran harga barang yang semakin meningkat.

"Jumlah itu adalah wajar kerana harga barang di pasaran semakin meningkat selain dapat membantu pesara yang perlu membeli barangan keperluan bagi menyambut kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi," katanya.

09 Ogos 2011

TERIMA KASIH PM - CUEPACS

Utusan Malaysia
9/8/2011



KUALA LUMPUR 8 Ogos - Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di atas pengumuman pemberian bonus setengah bulan gaji kepada semua kakitangan awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman ketika dihubungi hari ini berkata, pihaknya menerima baik pemberian bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 pada pertengahan bulan ini.

Tiada ulasan: