Selasa, 3 November 2009

SISTEM GANJARAN TINGKATAN PRODUTIVITI SEKTOR AWAM - CUEPACS

Utusan Malaysia
3/11/2009


KUALA LUMPUR 2 Nov. - Sistem ganjaran yang bakal diperkenalkan oleh kerajaan akan meningkatkan mutu kerja sektor awam di negara ini. Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, sehubungan itu pihaknya menyambut baik sistem ganjaran tersebut.
Menurutnya, pelaksanaan sistem itu akan meningkatkan kualiti dan produktiviti kerja di kalangan penjawat awam dan pentadbiran kerajaan.
"Di negara luar banyak menyediakan ganjaran kepada pekerja awam sehingga menyediakan bonus lapan bulan gaji.
"Oleh itu, sistem ganjaran yang ingin diperkenalkan di negara ini mesti dilakukan menyeluruh, adil dan saksama untuk mengelakkan daripada kembali seperti sistem terdahulu iaitu secara menegak dan melintang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah kerajaan untuk memperkenalkan sistem ganjaran kepada kakitangan cemerlang dalam sektor awam.
Omar berkata, beliau berharap sistem ganjaran ini akan dimulakan secepat mungkin iaitu pada Januari tahun depan.
"Dengan keadaan ekonomi sekarang yang lembap, pengenalan sistem ganjaran akan membantu meringankan beban kewangan kepada pekerja di sektor awam," katanya.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Syahir Syed Mohamud berkata, sistem ganjaran itu mestilah telus dan bertanggungjawab.
"Apa saja langkah yang dilakukan oleh kerajaan mestilah boleh mendatangkan manfaat kepada semua pihak," katanya.

Tiada ulasan: